Kampung Sebayan, Kudat, Sabah

21 October 2012

Bertitik dan Majlis Keramaian di Sebayan

Bertitik merupakan budaya warisan yang diwarisi turun-temurun, boleh dikatakan hanya sebilangan kecil yang tahu memainkan alat muzik untuk bertitik yang dikenali sebagai 'kulintangan'. Alat muzik ini dibuat daripada keluli yang dibentuk samada seperti gong tapi bersaiz kecil, berbentuk leper empat segi tepat atau dibuat daripada bilah kayu tertentu. Hanya kepakaran dan minat tertinggi sahaja membolehkan seseorang itu dapat mencipta dan memainkan alat muzik seperti ini. Alat muzik ini biasanya akan dimainkan pada keramaian seperti perkahwinan atau sambutan sesuatu acara.

Di Sebayan, hanya terdapat sebilangan orang-orang tua yang pandai memainkan alat muzik seperti ini, selain boleh membuatnya. Saya pernah lihat emak sehari suntuk menyiapkan kulintangannya yang diperbuat daripada 'kayu nibung' atau 'kayu kelimpopo' jenis kayu ini agak lembut dan senang dibentuk dan menghasilkan gema muzik yang agak baik.

Emak...dan rakan-rakannya. Lihat kalau dah sampai nak main 'kulintangan' ni, tong air pun boleh jadi pelengkap. Kreatifnya mereka...


Salah satu majlis 'bertitik' di kampung Sebayan. 

Acara-acara seperti ini dapat merapatkan semula hubungan sesama penduduk kampung samada di kampung yang sama atau kampung yang lain. Masih segar dalam ingatan, salah satu irama 'bertitik' khas untuk menyambut pengantin. Setiap kali irama 'bertitik' itu dimainkan bermakna pengantin telah sampai untuk majlis akad nikah dan bersanding. Masa itulah semuanya akan berpusu-pusu ke rumah pengantin untuk menyaksikan pasangan mempelai disandingkan. Agak sedih juga bila melihat budaya warisan ini semakin lama semakin hilang.....mungkinkah ianya sama dengan ayat ini " Zaman dah berubah". Jangan menyalahkan zaman yang berubah tetapi diri kita sendiri samada ingin meneruskan budaya warisan seperti ini ataupun tidak. Ianya tertakluk kepada kehendak dan kemahuan kita sendiri.


Budaya yang nampaknya masih ada dan tetap diteruskan adalah 'live band'. Adalah menjadi kebiasaan untuk mengundang kumpulan band yang baik dan sewanya mampu ditanggung oleh tuan rumah. Majlis perkahwinan di Sebayan adalah bermatlamat untuk mengumpulkan ahli keluarga dan rakan-rakan. Ianya bukan semata-mata tuan rumah mengenakan baju melayu samping di dalam dan salam 'kaut' semata-mata memenuhkan poket baju melayu dan ditambah dengan beg 'stand by' sekiranya poket baju melayu dah penuh dengan sambul surat berisi. Lihat dan saksikan sendiri betapa jelas kelihatan yang majlis di sini dibuat dengan jujur dan ikhlas bukan bermatlamat membuat kutipan...ada juga yang bermurah hati memberi sampul surat berisi beberapa keping wang kertas RM10 sambil tertulis sepucuk surat di dalamnya senarai nama individu yang bermurah hati memberikan sumbangan itu. Segala kos majlis akan ditanggung sendiri oleh tuan rumah samada daripada jumlah hantaran yang telah diterima bagi pengantin perempuan dan kos sendiri bagi pihak lelaki. Sekiranya tidak mencukupi, ahli keluargalah yang akan bantu membantu.

Semasa acara berlangsung, banyak lagi acara sampingan yang ada untuk memeriahkan majlis ini. Biasanya majlis persandingan akan bermula selepas akad nikah selepas zohor dan membawa ke malam. 'Live Band' akan memainkan peranannya memeriahkan majlis tersebut. Sekarang ni, 'Manuk-manuk Lambukun' telah menjadi 'trend' untuk mainkan. Manuk-manuk Lambukun merupakan sebuah lagu Bajau yang mempunyai irama dan rentak yang menarik. Lagu ini juga mempunyai gaya tariannya sendiri yang telah diadaptasi daripada tarian kebudayaan kaum Bajau iaitu 'Berunsai' yang ditarikan dalam bentuk bulatan berjalan dengan gaya tersendiri dan kadang-kadang berpatah balik mengiringi rentak lagu tersebut. Tua dan muda akan turut serta dalam acara itu untuk memeriahkan dan menyulam semula persahabatan.

Lagu Manuk-manuk Lambukun


Irama dan rentak yang menarik ditambah lagi dengan gaya tariannya telah memeriahkan majlis perkahwinan atau majlis keramaian. Ada juga yang mengatakan lagu dan irama serta tariannya boleh mengatasi lagu dan tarian 'Pocho-pocho', mungkin juga ada kebenarannya. Bolehlah dikatakan hanya beberapa lagu yang mempunyai tariannya sendiri seperti lagu yang menjadi kegilaan kini 'Gangnam Style' yang telah menjadi 'trade mark' Korea Selatan. Kini kebanyakan majlis keramaian masyarakat dari Sabah selalu memainkan lagu ini di tempat-tempat lain selain Sabah. Bangga juga rasanya...

Apa yang ingin saya katakan bahawa, kita harus memikirkan sesuatu dan mengambil tindakan untuk mengekalkan budaya warisan kita supaya ianya tidak hilang ditelan zaman. Sesuatu perlu dilakukan, jangan suatu hari nanti ianya hanya tinggal nama dan dapat dilihat dari rakaman video sahaja. Ramai bijak pandai yang ada di Sebayan dan boleh memikirkan sesuatu untuk dilakukan. Budaya warisan yang baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam wajar dikekalkan dan diteruskan untuk generasi akan datang.

Hanya catatan seorang perantau.....


Pages: Kampung Sebayan

No comments:

Post a Comment