Kampung Sebayan, Kudat, Sabah

09 October 2012

Kami Anak Sebayan


Lagu Ungus Sebayan yang dipopularkan oleh penyanyi asal iaitu Aziz Umar sangat sinonim dengan Kampung Sebayan. Ini adalah disebabkan lagu ini dicipta sempena mengambil nama 'Sebayan'. Ungus Sebayan dalam bahasa Bajau bermakna 'pantai Sebayan'. Suatu masa dahulu pantai di Kampung Sebayan putih bersih luas terbentang adalah tempat beriadah penduduk kampung selain lokasi untuk mendaratkan hasil perikanan yang menjadi sumber pencarian penduduk kampung pada ketika itu. Perubahan demi perubahan serta tahun silih berganti, pantai yang dahulunya putih bersih kini tinggal kenangan disebabkan faktor hakisan ombak. Usaha menyelamatkan pantai tersebut telah dilaksanakan dengan mendirikan tembok untuk menghalang hakisan bertambah kritikal.

Tembok ini dibina adalah hasil daripada usaha semua penduduk kampung Sebayan yang tetap setia menjadi peneman sejarah dan kenangan. Hanya mereka yang mampu mengekalkan sejarah dan kenangan terindah setiap individu yang dilahirkan atau dibesarkan di Sebayan. Jeti yang dibina hasil usaha bersama penduduk kampung kini diancam kerosakan mungkin disebabkan faktor usia. Usaha untuk memulihkannya hendaklah dilakukan dengan segera, kerana ianya amat penting untuk kegunaan para nelayan  mendaratkan hasil laut. Indah dan tenang berada di anjung jeti Sebayan sambil menikmati angin segar di waktu petang atau menunggu terbitnya mentari pagi. Dapat disaksikan kemerahan mentari pagi menyinsing gagah menyinari alam dan jelas kelihatan wajah Sebayan yang sentiasa tersenyum manis berlatar belakangkan kehijauan bumi ciptaan Tuhan.

Dari laut Teluk Marudu, pedoman untuk ke Kampung Sebayan sangat mudah. Kelihatan Bukit Si Jawa maka, akan sampailah ke Kampung Sebayan. Di waktu pagi pantai yang putih dan bersih seperti lampu isyarat menunggu setiap pengunjung, tetamu yang ingin singgah ke Kampung Sebayan atau menunggu setiap penghuninya balik ke rumah setelah seharian mencari rezeki untuk nafkah seluruh ahli keluarga.

Tatkala maghrib menyinsing jelas kedengaran suara laungan azan berkumandang walaupun ketika itu berada di laut Teluk Marudu. Bahawa sanya telah tiba waktunya untuk setiap penduduknya mengabdikan diri kepada Allah S.W.T sebagai tanda hambanya serta bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberikan. Perpaduan dan persefahaman jelas terukir di setiap wajah warga Sebayan, senyuman dan sapaan tidak akan lekang dari seluruh penduduk Sebayan menunjukkan anda sentiasa dialu-alukan ke Sebayan. Tiada ruang untuk idea kerosakan yang ingin bertapak di Sebayan, kerana prinsip agama Allah sentiasa menjadi ikutan dan pedoman.

Setiap masa akan hadir perasaan rindu untuk kembali ke Kampung Sebayan, kerana lahirnya ke dunia adalah di Sebayan. Semua warga Sebayan sangat cinta dan menyayangi Kampung Sebayan. Walau banyak kekurangannya tetapi mereka tetap setia dan kesetiaan itu akan berbayar tidak lama lagi dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap sebagai pakej lengkap kehidupan manusia. Alhamdulillah, Sebayan semakin terserlah ramai warganya kini menjawat jawatan yang baik serta memiliki latar belakang pekerjaan yang baik. Ini semua adalah hasil usaha dan berkat kesabaran untuk menimba ilmu demi kemajuan diri.

Mungkin sesuatu perlu ditambah baik lagi bagi meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan bersama. Apa yang penting, perpaduan dengan perasaan hormat menghormati haruslah sentiasa disemat di setiap hati dan nurani warganya supaya ianya kekal seperti sedia adanya Sebayan. Sejarah keturunan Sharif juga banyak dibuat rujukan di sini kerana, ada sejarah yang agung di sini. Sejarah yang menunjukkan bahawa insan berketurunan Sharif juga adalah penyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan umat sejagat. Bermula zaman penjajahan Jepun hinggalah British, sejarah pernah terpahat di sini.

Semoga ianya kekal bersemi selamanya. Namanya gagah dan utuh tidak ditelan zaman. Semoga setiap warga Sebayan akan memelihara dan memajukan kampung ini hingga ke tahap yang setiap warganya berbangga menjadi anak jati Sebayan.....

Sekian coretan ringkas dari anak Sebayan....


No comments:

Post a Comment