"BAJAU adalah terbahagi kepada dua kumpulan yang telah menetap di Pantai Barat dan Timur Sabah sejak beberapa ratus tahun yang lama dan diiktiraf sebagai penduduk asli dan antara bumiputera terbesar di negeri Ѕabah dan sekitarnya. Manakala di sebelah Pantai Barat mereka dikenali sebagai Bajau Samah. Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di persisiran pantai barat di samping menunggang kuda dan Bajau di Pantai Timur Ѕabah sebagai nelayan dan penyelam yang mahir.
Orang Bajau Samah Pantai Barat terkenal dengan penunggang kuda, pembuatan parang dan menjadi pesawah serta penternak. Pada masa yang sama juga, masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah khasnya dari daerah Semporna juga mendapat gelaran istimewa dan unik seperti “sea gypsies" Panglima Di laut, Pelaut dan Pelayar Terunggul.”
Bajau Samah yang berasal daripada daerah Kota Belud dan Tuaran pula amat di kenali di seluruh dunia sebagai 'cowboy of the east' kerana kemahiran dan kecekapan mereka dalam menunggang kuda yang tiada tolok tandingnya. Selain mereka pakar dalam pembuatan pedang Samurai yang dipercayai di perturunkan oleh tentera Jepun suatu ketika dahulu kepada kaum Bajau Samah dan Irranun di Kota Belud. Pedang Samurai daripada Kota Belud amat tinggi kualitinya dan senang di perolehi sehinggakan menjadi tarikan dan cenderamata yang harus di beli oleh para pelancong dari luar negara mahupun dalam negeri yang singgah ke Kota Belud.
Orang Bajau Samah Pantai Вarat adalah berbeza dengan Orang Bajau Рantai Timur khususnya daerah Lahad Datu dan Semporna. Dari segi pertuturan, pakaian tradisi, pemakanan adat resam dan budaya hidup adalah sangat-sangat berbeza. Masyarakat Bajau Samah Pantai Barat banyak yang terlibat dengan pertanian sawah padi manakala masyarakat Bajau Semporna terkenal dengan kegiatan penangkapan hasil laut." - Sumber wikipedia.org bahasa Melayu
Begitulah penterjemahan dan andaian penterjemah sejarah atau orang perseorangan yang mentafsirkan Bangsa Bajau mengikut selera sendiri tanpa rujukan yang tepat. Pengetahuan kita di Sabah amat berbeza dengan apa yang tercoret seperti di atas, Bajau Kota Belud, Bajau Tuaran, Bajau Kudat-Kota Marudu, Bajau Laut, Bajau Semporna-Ubian yang terdapat di Pulau Banggi dan Kudat (mempunyai persamaan). Persepsi masyarakat Malaysia terutamanya di Semenanjung mengandaikan bahawa Bangsa Bajau adalah Bajau Semporna. Bangsa Bajau atau jomosama adalah merujuk kepada bangsa Bajau dari Kota Belud, Tuaran, Papar, Kudat dan Kota Marudu ini yang masyarakat di Sabah tahu.
Penulis ingin mencadangkan agar pengklasifikasian dilakukan oleh mereka-mereka yang berkaitan dan bertanggungjawab agar tidak berlaku kecelaruan identiti bangsa Bajau itu sendiri. Insiden Lahad Datu sedikit sebanyak telah mewujudkan beberapa persepsi negatif terutamanya kepada bangsa Bajau yang kononya adalah pengganas Sulu. Kerajaan Negeri Sabah mungkin perlu melakukan sesuatu dengan menggunapakai sejarahwan, penduduk kampung dan ketua suku kaum, Universiti Malaysia Sabah dan sumber-sumber yang sahih. Ini penting bagi menampakkan begitu indahnya Sabah yang didiami oleh masyarakat berbilang kaum dan etnik yang selama ini telah mewarnai keunikan Sabah Negeri Di bawah Bayu.
Penulis juga ingin mencadangkan kepada mereka-mereka yang mempunyai pengetahuan, bijak pandai, arif dan berpengaruh untuk mewujudkan Kamus Bahasa Bajau. Ini dilihat amat penting kerana kita takut pada masa akan datang, generasi muda akan lupa dan tidak tahu bertutur dialek asal warisan mereka yang mungkin diakibatkan oleh transmigrasi, perkahwinan campur dan faktor-faktor yang mungkin akan menyumbang kepada situasi ini. Ini perlu difikirkan dan diambil tindakan.
"Allahyarham Tuanku Sharif Osman dan sahabat-sahabatnya adalah pejuang yang mempertahankan tanahair tetapi sejarah Barat mengatakan mereka ini adalah lanun yang kita tahu adalah suatu penyelewengan fakta sejarah hanya kerana menentang penjajah Barat. Kita tidak mahu ianya akan berulang, oleh itu sesuatu perlu dilakukan"
Tidak banyak tetapi mungkin sedikit, cadangan yang terbaik mungkin boleh menjadikan bangsa kita terbilang suatu hari nanti, in sha Allah.